Jumaat, 8 Mei 2009

Susur Jalur Ujian Pertunangan



Pertunangan adalah salah satu fasa yang akan kita alami sebelum menuju ikatan pernikahan. Seperti yang kita tahu dan sering dengar, pertunangan adalah fasa penuh dugaan,dan jalan yang dilalui amatlah berat.Sangat-sangat menguji kesabaran,menguji keimanan dan menguji bagaimana tawakalnya kita kepada Allah swt di atas setiap perencanaan-Nya.

 Firman Allah.

“ … sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)” (Surah At-Talaq)

 Jerat pertunangan bukan ringan.Syaitan akan mula memainkan peranan samada menggalakkan pasangan untuk lebih bermesra atau memutuskan harapan kaum adam untuk bersatu melalui pernikahan. Syaitan akan menangis dan sedaya upaya cuba menghalang pasangan yang mempunyai niat untuk menikah.Ditimbulkannya niat yang remeh temeh agar pernikahan itu tertangguh-tangguh.

 Zina hati akan timbul, dan zina hati inilah permulaan kepada zina yang terbesar yakni zina kemaluan(Nauzubillah).

 Dari Abi Hurairah Radiyallahu ‘anhu dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam. bahwa Beliau bersabda: “Telah ditulis atas anak adam nasibnya (bagiannya) dari zina, maka dia pasti menemuinya, zina kedua matanya adalah memandang, zina kakinya adalah melangkah, zina hatinya adalah berharap dan berangan-angan, dan dibenarkan yang demikian oleh farjinya atau didustakan,” (H.R. Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i).

 MasyaAllah,inilah mujahadah iman yang terbesar. Inilah mujahadah keutuhan hati atas syariatnya. Hati yang lemah iman mudah terpedaya dengan ikatan pertunangan. Diujinya perasaan cinta dan sayang yang kita sematkan hanya untuk yang sah.

 Perasaan datang berbaur-baur.Ada yang seperti tiada apa-apa kerana tidak pernah mengenal,ada yang seronok kerana ada peluang bertambah kenal,malah ada yang terlajak lebih.

Cemburu akan timbul samada pihak lelaki atau pihak perempuan.

 Seboleh-bolehnya kita sebagai manusia yang cuba memahami agama ingin mengelakkan ikatan pertunangan apatah lagi diikat dalam tempoh yang lama.Sudah pelbagai cara dilakukan agar dipercepat nikah,tetapi Allah swt telah menetapkan segalanya.

 Kerana Dia Lebih Mengetahui. Segala-galanya.

 "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."(Surah Al-Hadid ayat 22)

 Apabila sudah tiada upaya,hanya kekuatan iman dan diri yang mampu bersuara. Menghadapi fitnah-fitnah hati,fitnah-fitnah orang dan menguji keteguhan niat untuk menikah.

 Apa yang mampu kita lakukan hanyalah mempositifkan diri dan mempersiap menghadapi apa yang bakal berlaku. Ambillah sisi penting atas ikatan pertunangan,mungkin untuk bertaaruf lebih dengan pasangan serta keluarga pasangan.Mereka adalah keluarga baru, malah mungkin menjadi mad’u baru.Namun janganlah terlajak,Berwaspadalah.

 Ini juga adalah persiapan menerima risiko hidup bersama mentua,dan juga saudara mara mereka.

 Dan kita yang menghadapi fasa pertunangan,kutiplah ilmu rumah tangga sebanyak-banyaknya.Ilmu komunikasi,ilmu pengurusan ekonomi,ilmu menghadapi karenah anak-anak dan ilmu dalam berkonflik sesama sendiri.Malah kita akan hidup dengan seseorang yang kita tidak pernah kenali,jika berjumpa pun hanya pada taaruf dan bertunang.

Sehingga sudah tidak diingati lagi apakah rupa bakal suami...

 Untuk bakal suami,carilah ilmu tentang menjaga rumahtangga,tentang haid, tentang mengandung,tentang susu,dan sehinggalah ke lampin.Kerana si isteri sangat-sangat menghargai keterlibatan seorang suami dalam menguruskan rumah tangga.

 Untuk bakal isteri…

Kita akan bersama sosok tubuh yang boleh membawa kita ke syurga.Mari kita bina syurga dunia dengan ketaatan kita dan mempersiapkan diri selayaknya bidadari. Perhatikan rambutmu,biarkan ia panjang kerana suami sangat menyukainya.

 Tambahlah kemahiran dalam memasak,menjahit dan mengemas.

 Pilihlah pakaian yang paling baik,yang paling cantik dan paling seksi. Lakukan segalanya demi suamimu.

 Melewati fasa pertunangan hanya dengan iman. Iman hanya didapati dengan ilmu. Maka mari mencari ilmu dan bina takwa dalam perhubungan pertunangan.Ranjau dan onak duri dalam pertunangan hanya secebis dari ujian besar yang akan dihadapi selepas nikah.

 Perbanyakkanlah solat taubat,perbanyaklah istighfar. Pertunangan yang barokah itu menyumbang kepada pernikahan yang barokah. Jika nikah kita adalah kerana Allah swt,rentasilah fasa ini dengan kesabaran.Kerana disitulah kunci keredhaan.

0 ulasan:

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP