Ahad, 1 Februari 2009

Wahabi Yang Terhangat




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

www.syaukahkarimah.blogspot.com

Wahabi. Isu terhangat yang sebenarnya sudah lama menjalari fikiran masyarakat tetapi mungkin kali ini saya pula terkena tempiasnya. Terkadang geli hati sendiri dan tertawa apabila sahabat-sahabat mungkin sudah mula menjauhkan diri atau sudah ada berprasangka bahawa saya ini juga wahabi.

Pertama sekali saya dengar perkataan wahabi adalah beberapa tahun lepas tetapi saya tidak pernah ambil pusing. Tidak tahu apa yang diperbualkan. Sebab bagi saya itu bukan urusan saya .

Pertama kali saya mendapat info tentang wahabi adalah dari seorang sahabat saya dari Universiti Sains Malaysia. Secara tiba-tiba dia ingin menegakkan kebenaran bahawa ajaran wahabi itu bukanlah sejenis ajaran tetapi gelaran yang diberi kepada seorang hamba Allah yang bernama Syeikh Abdul Wahab.

Saya yang ketika itu agak terpana,kenapa sahabat saya beria-ia memaklumkan kepada saya tentang itu.

Alhamdulillah, sepanjang pencarian saya untuk memahami apa itu agama dan ajaran Islam yang sebenar mengikut syariat tidak pernah seorang pun yang bersama saya dalam perjuangan itu mengaku diri mereka wahabi.

Sehinggalah sekarang ada orang menggelarkan saya wahabi. Ketawa saya.

Malah ibu saya pun seperti kerisauan sekiranya saya terjebak dengan ajaran wahabi.Dia menceritakan kepada saya bagaimana rakannya yang merupakan seorang guru telah dipindahkan tempat kerja kerana ajaran wahabinya itu.

Saya hanya mampu berkata kepada ibu saya,saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya wahabi itu.

Namun hari ini,saya dapat melihat impak wahabi ini.

Berpunca dari sikap manusia yang suka mendengar fitnah dari orang lain tanpa menyiasat.

Saya adalah pelajar senior. Bersama rakan-rakan yang selalu ke surau,berusaha mencari seorang ustaz untuk mengajar ilmu agama di kolej kami.Sebab universiti saya tiada kos agama. Jika ada musykillah agama,maka terkial-kial lah kami mencari sumber untuk bertanya.

Dan masalah solat jamak dan qasar pun menjadi kekecohan sehingga ke peringkat atasan sedangkan tidak ada sesuatu yang salah pun tentang itu. Semuanya kerana jahil.

Tiada ilmu.

Jika masyarakat dulu,jahil itu bermaksud bodoh. Maka layakkah kita pelajar universiti mendapat gelaran itu? Sedangkan universiti dikenali sebagai tempat budak pandai.

Bukan sekali dua pelajar-pelajar mengadu kepada pihak universiti kononnya ada pelajar membawa ajaran sesat. Sehingga sekarang tiada kelas agama yang berlangsung,kerana masalah takut membawa ustaz yang sesat. Dan ustaz wahabi juga dilabel sesat.

Pelik. Sangat pelik.

Kelas agama belum bermula.Pengisian pun belum diberi bagaimana pelajar universiti yang bijak pandai boleh menghukum seseorang tu sesat?

Dan muhasabah diri kalian dahulu. Adakah kalian tidak sesat?

Bercampur gaul lelaki perempuan dalam majlis keraian, berpakaian tidak menutup aurat, menghabiskan masa menonton televisyen, movie barat,movie korea yang penuh kelucahan, solat tidak cukup 5 waktu. Bukankah itu lebih sesat?

Bukankah itu gaya hidup yang secara terang-terang terkeluar dari ajaran agama Islam? Tidak perlu kalut-kalut melihat isu besar jika isu sekecil ini pun kita gagal mengurusinya.

Dan hanya kerana cakap-cakap mulut-mulut yang gemar menaburkan fitnah,harapan saya dan sahabat untuk belajar agama dan mengikuti kelas agama terkubur begitu sahaja.Syariat-syariat Islam yang perlu dipelajari terabai. Hanyutlah pelajar-pelajar universiti dengan urusan yang penuh kesia-siaan dan kedosaan.

Kita orang islam tetapi mengapa kita secara mudahnya menolak usaha-usaha mereka yang ingin menceritakan tentang keluhuran dan kebenaran Islam. Menceritakan kepada kita apa sebenarnya tanggungjawab kita sebagai orang islam,muhasabah dimana sebenarnya kedudukan akidah kita.

Islam itu tidak terletak pada nama semata-mata.

Dan bagi mereka yang gemar berprasangka tanpa usul periksa, tolong bertindak sebagai seorang yang berakal. Bukankah etika kemanusiaan,jika ingin menuduh perlu disertakan bukti yang sahih dan saksi? Malah inikan tuntutan agama dalam mensabit kesalahan pada seseorang.

Mengapa tidak kalian sendiri membuka helaian Al-Quran,cuba mempelajari maksudnya, dan mengerahkan sedikit masa kalian untuk mengenal kitab-kitab hadith dan membaca buku-buku agama?

Atau sudah terlalu tahukah kita tentang agama itu?

Ambil masa,kenal agama dan buktikanlah bahawa dalil Al-Quran yang cuba disampaikan kepada kalian itu adalah ajaran sesat. Jika berani,buktikanlah juga bahawa hadith-hadith Rasulullah s.a.w itu juga sesat dan tidak relevan.

Kerana tindakan kita menyekat kemasukan ustaz kerana sebab yang tidak muhasabah tiada bezanya dengan orang yang tidak mempercayai Islam dan mengambil tahu tentang
syariatnya.

Dan moga firman Allah s.w.t ini sentiasa menjadi pegangan kita.

Bukalah tafsir dihelaian 432,surah Al Ahzab ayat 36. Baca dan cermatilah.

‘’Dan tidaklah pantas bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin,apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan,akan ada pilihan(yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya,maka sungguh dia telah tersesat,dengan kesesatan yang nyata.’’

“ Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”( Surah Sl’Asr:1-3)

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP