Khamis, 15 Januari 2009

Adakah Menyentuh Wanita Membatalkan Wuduk?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

www.syaukahkarimah.blogspot.com

Ulamak berbeza pendapat tentang adakah menyentuh wanita membatalkan wuduk. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim: “Dalam masalah ini ada tiga pendapat di kalangan para ulamak:

Pertama: Lelaki menyentuh perempuan secara mutlak membatalkan wuduk. Ini adalah pendapat Syafi’i yang disepakati oleh Ibnu Hazm dan merupakan perkataan Ibnu Mas’ud serta Ibnu ‘Umar.

Kedua: Tidak membatalkan wuduk secara mutlak menurut mazhab Abu Hanifah, Muhammad bin Hassan al-Syaibani dan merupakan perkataan Ibnu ‘Abbas, Thawus, al-Hassan, Atha’ dan dipilih oleh Ibnu Taymiyyah. Inilah pendapat yang kuat.

Ketiga: Menyentuh perempuan dapat membatalkan wuduk jika disertai syahwat. Ini adalah pendapat Malik dan Ahmad pada riwayat yang masyhur darinya.

Apapun jua rata-rata umat Islam di Malaysia berpegang kepada pendapat yang pertama iaitu pendapat yang dipegang oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah. Imam al-Syafi’i berkata:
“Apabila seseorang lelaki menyentuhkan tangan isterinya, atau bersentuhan sebahagian tubuhnya kepada sebahagian tubuh isterinya di mana tidak ada pembatas antara dia dan isterinya, baik dengan nafsu berahi atau tidak, maka wajib atas keduanya berwuduk”.

Dalil yang telah dipergunakan oleh Imam al-Syafi’ rahimahullah adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

“ Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam perjalanan, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu...”

Firman-Nya lagi dalam ayat yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.

Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Bagi Imam al-Syafi’i rahimahullah ayat “atau kamu sentuh wanita” menjadi bukti bahawa tersentuh kulit di antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk. Sebelum kita meneruskan perbincangan ini ada baiknya sekiranya kita memahami bagaimanakah manhaj atau pegangan Imam al-Syafi’i yang juga di kenali dengan gelaran al-Nashir al-Sunnah (Seorang Pembela Sunnah) dan hal-hal yang bersangkutan ibadah. Imam al-Syafi’i berkata:

“Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menurut kalangan Ahlul Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati”.

Selanjutnya Imam al-Syafi’i rahimahullah juga berkata:

“Setiap hadis yang datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bererti itulah pendapatku, sekalipun kalian tidak mendengarnya sendiri dari aku”.

Masih terdapat banyak lagi kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah yang senada dengan apa yang telah penulis turunkan di atas. Oleh itu melalui risalah ringkas ini penulis akan sedaya upaya mengupas isu ini dengan merujuk kepada dalil-dalil yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Takrifan Sebenar Bersentuh Dengan Perempuan.

Bersentuh di dalam kedua ayat al-Qur’an di atas sebenarnya bukan merujuk kepada bersentuh antara kulit tetapi ianya sebenarnya merujuk kepada jimak (persetubuhan). Terdapat beberapa ayat di dalam al-Qur’an yang juga menggunakan istilah bersentuh tetapi ianya hanya mengarahkan kepada makna jimak.

“Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

Firman-Nya lagi:

“Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh (dijimak) oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"

Jelas kedua-dua ayat di atas merujuk bersentuh sebagai berjimak. Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh yang merupakan pakar tafsir al-Qur’an di kalangan para sahabat juga mentafsirkan bersentuh di dalam surah al-Nisaa’ dan al-Maaidah yang telah dipergunakan oleh Imam al-Syafi’i sebagai dalil untuk menguatkan hujahnya sebagai jimak. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

“Sedangkan makna menyentuh yang kemudian dijadikan dalil bahawa itu adalah hubungan badan (jimak) di dalam ayat di atas (iaitu di dalam surah al-Nisaa’ dan al-Maaidah), adalah seperti yang ditafsirkan oleh Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh).

Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah memiliki penjelasan yang begitu baik tentang surah al-Maaidah ayat ke 6 dan beliau telah membuktikan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala “kamu sentuh perempuan” itu bermaksud jimak. Ayat tersebut dimulakan dengan pembahagian thohaarah asli kepada dua iaitu berwuduk untuk hadas kecil dan mandi wajib untuk hadas besar.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “…apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” menetapkan tentang diwajibkan berwuduk apabila berhadas kecil untuk bersolat.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “…dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…” menerangkan bahawa apabila kita berhadas besar diwajibkan mandi wajib.

Selanjutnya ayat tersebut menceritakan tentang thohaarah pengganti apabila tidak ada air yakni dengan bertayamum. Jika di awal ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta'ala telah membahagi thohaarah asli untuk hadas besar dan hadas kecil, tentu sekali thohaarah pengganti yakni tayamum juga akan meliputi perbahasan untuk hadas besar dan hadas kecil agar ianya sesuai dengan balaghah (sastera bahasa) al-Qur’an. Antara contoh-contoh yang Allah 'Azza wa Jalla pamerkan untuk thohaarah pengganti adalah:

i. dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),

ii. atau dalam perjalanan,

iii. atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,

iv. atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

Perkara (i), (ii) dan (iii) adalah hadas kecil manakala perkara (iv) sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melibatkan terjadinya hadas besar yakni berjimak. Oleh itu Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah membuat kesimpulan:

“Yang tepat bahawa ayat ini (al-Maaidah (5) : 6) menunjukkan bahawa firman-Nya: atau kamu sentuh perempuan maksudnya jika kamu menyetubuhi (berjimak) wanita agar ayat ini meliputi dua sebab yang mengharuskan bersuci (thohaarah) iaitu hadas besar dan hadas kecil.

Dan berwuduk meliputi empat anggota badan, sedangkan mandi (wajib) meliputi seluruh badan. Sedangkan thohaarah pengganti iaitu tayamum meliputi dua anggtota tubuh sahaja baik tayamum untuk hadas kecil mahupun besar”.
Oleh itu ayat-ayat tersebut sebenarnya hanya menjelaskan bahawa sekiranya terjadi jimak atau persetubuhan di antara lelaki dan wanita maka hal tersebut membatalkan wuduk.

Petunjuk Dari Sunnah Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam

Terdapat beberapa hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan sekadar bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ianya tidak membatalkan wuduk. Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dia berkata:

Aku tidur di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, sedang kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila baginda hendak bersujud, baginda mencolekku, maka aku lantas melipat kakiku.

Menurut Imam Abu Ja’far al-Thobari hadis di atas menjadi bukti yang kukuh bahawa fiman Allah Subhanahu wa Ta'ala “kamu sentuh perempuan” itu bermaksud jimak (bersetubuh). Menurut beliau:

Pendapat yang paling dekat dengan kebenaran adalah pendapat yang mengatakan bahawa makna firman Allah “kamu sentuh perempuan” itu adalah jimak bukan bermakna bersentuhan. Ini berdasarkan hadis sahih daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam behawasanya baginda mencium sebahagian isterinya lalu keluar untuk melaksanakan solat tanpa mengambil wuduk kembali.

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha dia berkata:

“Pada suatu malam aku kehilangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka aku mencarinya dengan tanganku, kemudian tanganku mengenai telapak kaki baginda yang sedang tertegak dalam keadaan bersujud.

Maka dari kedua hadis di atas jelaslah bahawa sekadar bersentuhan kulit sahaja tidaklah membatalkan wuduk. Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa di dalam kedua-dua peristiwa di atas persentuhan tersebut sebenarnya berlaku di dalam keadaan berlapik namun ini di sanggah oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Menurut beliau: “Penafsiran bahawa memegangnya dengan menggunakan pembatas (berlapik) adalah sebuah penafsiran yang jauh terpesong dari zahir hadis”.

Hal ini akan menjadi semakin jelas apabila kita meneliti hadis seterusnya. Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

“Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi solat tanpa berwuduk lagi”.

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menciumnya sedang baginda berpuasa.” Kemudian Nabi bersabda:

“Ciuman ini tidaklah merosakkan (membatalkan) wuduk dan tidak pula membatalkan puasa”.

Menerusi hadis-hadis di atas maka terdapat para ulamak yang menguatkan hujah mereka bahawa menyentuh perempuan samada disertai dengan syahwat mahupun tidak, ianya tidak membatalkan wuduk. Ini adalah kerana kebiasaannya bercium itu disertai dengan syahwat.

Sekiranya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin membezakan bahawa ciuman yang bersyahwat itu membatalkan wuduk sementara ciuman yang biasa tidak membatalkan wuduk pasti ada riwayat darinya yang menggambarkan tentang perbezaan tersebut. Namun hadis di atas dibiarkan di dalam bentuk yang umum. Menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:

“Menyentuh perempuan berdasarkan pendapat yang kuat tidak membatalkan wuduk, baik disertai syahwat mahupun tidak, selama tidak disertai keluarnya mani atau madzi kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah suatu ketika mencium sebahagian isterinya, lalu solat tanpa memperbaharui wuduknya”.

Menurut Fahd al-Syuwayyib, penulis kitab al-Ta’lieqaat al-Salafiyah’ ala Sunannya berkata:

“Perkataan ghomazani (mencolek) atau seperti di dalam hadis al-Nasai massani bi rijilih (menyentuhku dengan kakinya), adalah maklum bahawa hal itu bererti menyentuh tanpa syahwat. Maka pengarang menjadikannya sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk.

Adapun jika menyentuh dengan syahwat, maka alasan bahawa tidak batal kerananya ialah kembali kepada asal, iaitu tidak ada dalil yang menunjukkan tentang ianya membatalkan, sehinggalah orang yang berpendapat hal itu membatalkan dapat menunjukkan dalilnya. Dan ini cukup menjadi alasan hal itu tidak membatalkan. Bahkan akan tampak dalil yang mengindikasikan tidak membatal wuduk, iaitu hadis mengenai qublah (mencium), yang menurut kebiasaan bahawa mencium itu tidak terbebaskan dari adanya syahwat”.

Selanjutnya Fahd al-Syuwayyib berkata:

“Apabila suami dan isteri merasa aman dari keluarnya suatu cairan, maka menyentuh itu tidak membatalkan wuduknya tetapi yang lebih utama adalah mengambil sikap berhati-hati kerana ada kalanya dia tidak dapat menjamin tidak keluarnya sesuatu cairan di dalam keadaan ini (adanya syahwat). Wallahu A’lam.

Inilah beberapa petunjuk yang dapat kita ambil dari hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan perbahasan samada menyentuh wanita itu membatalkan wuduk ataupun tidak. Hadis-hadis tersebut jelas menunjukkan ianya tidak batal malah sebenarnya tidak wujud petunjuk daripada baginda bahawa hal tersebut boleh membatalkan wuduk. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ al-Fatawa, jilid 21, ms. 235-236:

“Adapun wajib wuduk nyata kerana menyentuh wanita dengan tanpa syahwat maka yang demikian adalah pendapat yang paling lemah. Pendapat ini tidak dikenal dari salah seorang sahabat manapun. Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi bahawa dia memerintahkan kaum muslim untuk berwuduk kerana disebabkan hal tersebut.

Padahal ini adalah masalah yang sering terjadi yang hampir-hampir kaum muslim tidak dapat menghindarkan diri darinya. Sebab seorang lelaki selalu mengambil sesuatu daripada isterinya dan mengambilnya dengan tangannya. Dan yang serupa itu yang terjadi kepada kebanyakan manusia. Maka andaikata wuduk diwajibkan disebabkan kerana itu (iaitu bersentuhan lelaki dan wanita - pen) pastilah Rasulullah memerintahkan sekali ataupun dua kali dan akan tersebar luas di tengah para sahabat. Andaikata Rasulullah melakukan itu maka pasti akan ada hadis yang ditulis mengenai hal ini walaupun hadis ahad . Maka ketika tidak ada satu hadis pun yang memerintahkan masalah ini dari salah seorang dari kaum muslimin bahawa Rasulullah memerintahkan seorang dari kaum muslimin –padahal ini sering kali terjadi- boleh kita fahami bahawa hal itu tidak wajib.

Kesimpulan

Setelah membentang serta membahaskan semua pandangan yang ada di dalam mazhab-mazhab fekah berkaitan isu samada menyentuh wanita membatalkan wuduk ataupun tidak, Dr Yusuf al-Qaradhawi membuat kesimpulan seperti berikut :

“ Kami menyatakan bahawa pendapat yang paling kuat dalam masalah ini adalah tidak batalnya wuduk secara mutlak. Sebab yang menjadi sandaran orang-orang mengkritik pandangan ini adalah ayat yang mulia ini.
Padahal tidak ada dilalah (indikasi) yang menunjukkan hal itu (yakni menyentuh wanita membatalkan wuduk – pen) di dalam ayat tersebut.

Pandangan ini sama dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh), Sang Tarjuman al-Qur’an (pakar tafsir al-Qur’an) dan orang yang Rasulullah doakan semoga Allah mengajarkan takwil (tafsiran). Pandangan ini sangat sesuai dengan penutup ayat ini:

“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

Syaikh Shalih Fauzan pula berkata:

“ Akan tetapi pendapat yang kuat adalah tidak membatalkan (wuduk apabila menyentuh wanita) secara mutlak, kecuali bila keluar sesuatu cairan dari orang yang menyentuh dan disentuh, seperti madzi dan sebagainya. Di dalam keadaan seperti ini, wuduk orang yang bersangkutan batal disebabkan sesuatu yang keluar darinya dan bukan kerana memegang.

Penulis (Mohd Yaakub Mohd Yunus) berpendapat sewajarnya kita menangani isu ini dengan minda yang bersih dari sifat fanatik mazhab. Apatah lagi Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri menganjurkan kita untuk lebih mengutamakan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari pendapat beliau sendiri dan sekiranya terdapat sunnah Nabi yang bertentangan dengan pandangan beliau maka tolaklah pendapat beliau.Firman Allah 'Azza wa Jalla:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Melalui ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala mewajibkan bagi kita sekiranya terjadi sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, hendaklah dirujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat.

Keengganan mencerminkan sikap seseorang yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat. Tambahan pula antara manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam membuat pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Umm al-Mukminun ‘Aishah radhiallahu 'anha:

“Tidaklah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tidak mengandungi dosa.

Penulis melihat hukum batalnya wuduk apabila bersentuhan di antara lelaki dan wanita agak memberatkan serta menyukarkan umat Islam terutamanya bagi pasangan suami isteri. Kesukaran ini akan kelihatan lebih jelas lagi apabila kita terpaksa berasak-asak di dalam keadaan jumlah orang yang begitu ramai seperti ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Untuk meringankan kesukaran ini maka ada pihak yang mengambil pendirian untuk bertaklid kepada mazhab Imam Ahmad hanya ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Saranan penulis kenapa tidak kembali sahaja kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sememangnya memudahkan umatnya. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesungguhnya kalian diutus untuk memberikan kemudahan dan tidak diutus untuk menyulitkan”.

Baginda juga telah memerintahkan kita untuk mempermudahkan segala urusan sebagaimana sabdanya: “Permudahkanlah dan jangan kamu persulitkan”.

Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang datangnya dari Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum akan mengandungi unsur-unsur dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya dan tidak mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya:

“.. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus
http://akob73.blogspot.com/
SMS sahaja: 016-2640722

Amalan wanita Yang Didatangi haid di Bulan Ramadhan




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

www.syaukahkarimah.blogspot.com

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid.

Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?

Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.

Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.

Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya.

Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh.

Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:

“Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam”. [al-Waqiah 56:77-80]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun (makhluk-makhluk yang diakui suci) adalah para malaikat yang suci.

Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh:

“Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut”.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’.

Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas.

Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman.

Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.

Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam.

Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an. Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.

Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya.

Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub. Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:


i. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat).

Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

ii. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.

Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh.

Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:

Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid. Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):

“Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai.

Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi.

Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram”.
Kesimpulan:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.

Penulis : Hafiz Firdaus Abdullah

Adakah Cara Solat Kaum Wanita Berbeza dengan kaum Lelaki?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

www.syaukahkarimah.blogspot.com

Sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam:
“ Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari di mana orang yang sabar ketika itu seperti memegang bara api. Mereka yang mengamalkan sunnah pada hari itu akan mendapatkan pahala lima puluh kali dari kalian yang mengamalkan amalan tersebut. Para sahabat bertanya: ‘Mendapatkan lima puluh kali dari kita atau dari mereka?.Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam
menjawab: ‘Bahkan lima puluh kali pahala dari kalian”

[Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi Abu Daud, Ibnu Majah,Ibnu Hibban dan al-Hakim. Hadis ini adalah hadis sahih dan telah dishahihkan oleh Imam al-Hakim dan disepakati oleh az-Dzahabi dalam Dharuratul Ihtimam, m.s 49 oleh Syaikh Abdus Salam bin Barjas]

Dari Meja Penyusun ...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

Untuk makluman sidang pembaca sekalian, risalah yang sedang berada di tangan anda ini merupakan himpunan beberapa risalah berhubung dengan persoalan fiqh wanita, yang antara lainnya membahas beberapa persoalan fiqh yang sering menjadi bahan polemik di dalam masyarakat kita, khususnya kaum wanita. Antara isu yang akan dibincangkan di dalam risalah ini adalah persoalan adakah tata-cara perlaksanaan solat kaum lelaki berbeza dengan kaum wanita, adakah terbatal wuduk jika menyentuh kaum wanita, amalan-amalan yang dibolehkan kepada kaum wanita di bulan Ramadhan serta hukum bagi wanita haid yang memasuki masjid. Dengan membawa segala hujah-hujah ilmiah yang bersumberkan dari nas-nas al-Qur’an, al-Sunnah yang sahih, atsar para sahabat serta pandangan alim ulamak muktabar yang diakui dan diiktiraf oleh dunia Islam, para penulis risalah telah pun berjaya menampilkan beberapa pandangan yang rajih (terkuat) dan sarih (jelas) bagi menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut. Mudahan-mudahan, dengan ilmu yang disampaikan menerusi risalah ini sedikit sebanyak dapat memberi kepuasan kepada para pembaca sekalian, sekaligus mengurangkan ketegangan di kalangan golongan yang sering menjadikan isu terbabit sebagai bahan polemik dan perdebatan.

Pasti sahaja – menurut jangkaan penyusun - dalam beberapa perkara yang bakal disebutkan di dalam risalah ini terdapat sebahagiannya yang bercanggah atau tidak “sehaluan” dengan pegangan atau amalan “kebiasaan” di kalangan segelintir para pembaca risalah ini. Dalam menghadapi suasana ini, saya menyeru kepada sidang pembaca yang budiman agar mengambil sikap berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan menjadikan segala dalil dan hujah yang dipersembahkan oleh para penulis risalah sebagai “tolok ukur” bagi menilai kebenaran maklumat dan kesahihahan fakta yang terkandung di dalam risalah-risalah tersebut. Perlu dicatit juga bahawa, menolak sesuatu pendapat yang jelas memiliki keterangan yang benar dari al-Quran dan al-Sunnah yang sahih secara membuta tuli tanpa mengambil sebarang pertimbangan atau penilaian ilmiah yang sewajarnya bukanlah merupakan ciri seorang mukmin yang benar. Malah, sikap seperti ini adalah bertolak belakang dengan firman Allah yang menganjurkan agar setiap muslimin/muslimat bersikap kritis dan senantiasa mengutamakan sesuatu yang haq di sisi agama. Golongan inilah yang mendapat pujian Allah sebagai golongan yang “mendapat petunjuk” dan “berakal sempurna” sebagaimana firman-Nya:

“(Orang-orang) yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikuti akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama), mereka itulah orang-orang yang telah diberi hidayah petunjuk oleh dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna” (Surah az-Zumar : 18)

Penyusun mengharapkan agar kehadiran risalah yang serba ringkas ini dapat meniupkan semangat para pembaca untuk terus giat mencari ilmu agama disamping ianya menjadi pemangkin kepada melahirkan lebih ramai lagi golongan muda yang celik agama dan mencintai Sunnah Rasulnya yang sahih, Nabi Muhammad shalallahu-‘alaihi-wasallam. Firman Allah yang mulia di bawah ini dititipkan khas buat tatapan para pembaca sebagai motivasi untuk terus mempelajari ilmu agama-Nya, sekaligus menjadi penutup kepada mukaddimah risalah ini. Sekian dahulu dari pihak kami, selamat membaca. Firman-Nya:

“Dan orang-orang yang berusaha bersunguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memberi hidayah (memimpin) ke jalan-jalan (agama) Kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” (Surah al-‘Ankabut : 69)
Adakah Cara Solat Kaum Wanita
Berbeza Dengan Kaum Lelaki ?

Penulis : Mohd Hairi Nonchi

Ada sebahagian ulama’ berpendapat bahawa cara melaksanakan solat antara lelaki dan wanita berbeza. Mereka mengemukakan banyak hadith untuk menyokong pendapat itu. Tetapi kesemua hadith itu dha’if dan tidak boleh dijadikan sandaran hujah. Pendapat yang terpilih (rajih) adalah tidak wujud perbezaan cara solat antara kaum lelaki dengan kaum wanita, sama ada ketika sujud, duduk dan sebagainya. Hal ini berdasarkan keumuman sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam yang memerintahan agar setiap kaum muslim (merangkumi kaum lelaki dan kaum wanita) solat seperti mana baginda mengerjakannya. Hadith yang dimaksudkan :

“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat (tata cara) aku (mengerjakan) solat” (Hadith riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari , hadis no: 631)

Inilah juga pendapat (yakni menjadikan keumumam dalil ini sebagai bukti kewajipan meneladani tata-cara perlaksanaan solat Rasulullah dalam segenap sapek, baik di kalangan lelaki mahupun wanita) Ibrahim an-Nakha’i rahimahullah sebagaimana katanya: “Seorang wanita melakukan dalam solat seperti apa yang dilakukan oleh kaum lelaki” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, jil. 2, ms. 75 dengan sanad yang sahih).

Dalam pada itu, dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam juga bersabda: “Kaum wanita duduk dalam solat sebagaimana duduknya kaum lelaki” (Al-Mushannaf, no: 2788)

Syaikh Nashiruddin al-Albani rahimahullah (1420H) berkata: “Semua hadith yang menyebut tentang sifat solat Nabi menunjukkan solat lelaki dan wanita sama sahaja. Tidak wujud hadis yang menerangkan bahawa wanita dikecualikan daripada sebahagian pergerakan solat itu. Bahkan lafaz hadith yang umum itu merangkumi lelaki dan wanita” (Shifat Solat Nabi, ms. 189)

Selanjutnya, bagi menguatkan pendapat beliau yang menafikan adanya perbezaan tata cara solat antara kaum lelaki dengan kaum wanita, Syaikh Nashiruddin al-Albani rahimahullah juga membawa sebuah riwayat dari al-Bukhari dalam kitabnya, al-Tarikh al-Saghir, muka surat 95 dari ‘Ummu Darda yang berbunyi:

“Sesungguhnya (Ummu Darda) dalam solat, duduk seperti cara duduk lelaki, padahal beliau seorang perempuan yang ahli (pakar) fiqh” (Sifat Solat Nabi, ms. 240)

Selain itu, dalam sebuah hadith yang berbentuk umum juga, Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda: “Kaum wanita adalah saudara kembar bagi kaum lelaki”

Nama lengkap beliau ialah al-Muhaddits al-‘Allamah Abu ‘Abdirrahman Muhammad Nashr al-Din bin Nuh Najati al-Arna’uth al-Albani, dilahirkan pada 1333H bertepatan dengan 1914M di Skoder ibukota Albania-Eropa. Beliau merupakah seorang tokoh hadis yang unggul di abad ini lantaran usahanya yang banyak menganalisa dan menyaring hadis-hadis Rasulullah daripada riwayat yang sahih dengan yang maudhuk (palsu) dan dha’if (lemah). Beliau telah meninggal dunia pada 1240H, bertepatan dengan 1999M di Yordan. Lebih lanjut mengenai beliau, sila rujuk buku yang bertajuk Biografi Syaikh al-Albani: Mujaddid dan Ahli Hadis Abad Ini, Mubarak Bamuallim, terbitan Pustaka Asy-Syafi’e, Bogor, 2003.




Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud (hadis no:204) dan at-Tirmizi (hadis no:105) daripada Siti Aisyah. Manakala riwayat ad-Darimi (hadis no:764) pula daripada Anas. Al-‘Aljuni rahimahullah berkata: “Ibn al-Qattan berkata bahawa hadith riwayat Aisyah di atas adalah dha’if (lemah), sedangkan riwayat Anas pula sahih” (Kasyfu al-Khafa’, jil. 1, ms. 248)

Al-Khittabi rahimahullah berkata: “Dalam memahami hadith, kebiasaannya apabila terdapat satu perintah yang ditujukan kepada kaum lelaki, ia juga (sebenarnya) merangkum wanita kecuali jika ada dalil khusus kepada kaum wanita. Sebahagian ulama’ berkata wanita tidak boleh duduk seperti lelaki. Hal ini berdasarkan kepada dua hadith dha’if”.

Al-Baihaqi rahimahullah berkata: “Dalam masalah ini (yakni larangan kaum wanita menyerupai cara solat kaum lelaki -pent) terdapat dua hadith dha’if dan kedua-duanya tidak boleh dijadikan hujah.

Pertama, menurut Atha’ bin al-‘Ajlan, Abu Nadhrah pernah mendengar Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu-‘anhu meriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam berkata:

“Rasulullah memerintahkan kaum lelaki supaya merenggangkan anggota tubuh mereka ketika sujud dan baginda memerintahkan kaum wanita merapatkan dan merendahkan tubuh ketika sujud. Baginda juga memerintahkan agar kaum lelaki menyimpuhkan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan ketika tahiyat. Sebaliknya, baginda memerintahkan kaum wanita duduk bersilang kaki di bawah paha”

Terhadap hadith ini, al-Baihaqi rahimahullah berkata: “Hadith ini (adalah hadith) mungkar”

Kedua, menurut Abu Muti’ al-Hakam bin Abdullah al-Bakhi, Umar bin Dzar pernah mendengar Mujahid meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau berkata bahawa Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda:

“Apabila seorang wanita duduk dalam solat, kemudian meletakkan pahanya di atas yang sebelahnya. Apabila sujud, dia merapatkan perutnya kepada kedua-dua pahanya seperti lazimnya dia menutup dirinya. Allah berkata: Wahai para malaikat-Ku, saksikanlah, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa-dosa wanita itu”

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi. Walau bagaimanapun, para ulama hadith (muhaddith) telah menilai hadith ini sebagai hadith dha’if kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Abu Muti’ al-Bakhi. Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Ibn Ma’in berkata bahawa hadith ini tidak boleh dikira sebagai hujah. Dalam masa yang lain pula, beliau berkata hadith ini dha’if. Al-Bukhari juga sependapat dengan beliau dan menambah bahawa perawinya merupakan seorang Ahli Ra’yi. Demikian juga komen al-Nasaa’i” (Lisan al-Mizan, jil. 2, ms. 334)

Ketiga, Yazid bin Abu Habib berkata bahawa Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam pernah melewati dua orang wanita yang sedang mengerjakan solat. Kemudian baginda shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda:

“Ketika kamu sujud, rapatkanlah sebahagian anggota ke tanah. Dalam keadaan itu, wanita tidak sama kaum lelaki” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi)

Hadith di atas adalah hadith mursal dan termasuk dalam hadith dha’if. Ibn Abi Syaibah menyebutkan bebrapa atsar daripada sebahagian ulama’ salaf mengenai perbezaan duduk antara lelaki dan wanita. Hujahnya berdasarkan firman Allah dan sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam. Kemudian, beliau menyebut daripada sebahagian ulama’ salaf yang lain bahawa cara mengerjakan solat bagi lelaki dan wanita adalam sama. (Al-Mushannaf, jil. 1, ms. 242)

Selain itu, Syaikh Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah juga turut menolak hujah yang membezakan cara solat kaum wanita dengan kaum lelaki. Menurutnya, kenyataan bahawa wanita tidak boleh merenggangkan tubuhnya di dalam solat sebaliknya hendaklah dirapatkan, boleh disanggah dalam beberapa aspek :

i. Alasan yang dikemukakan tidak dapat menolak kekuatan nas yang menyatakan bahawa wanita dan lelaki adalah sama dari segi mengamalkan hukum. Lebih-lebih lagi Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam pernah menyuruh semua umat Islam mendirikan solat seperti baginda mendirikannya. Perintah ini berbentuk umum, merangkumi lelaki dan wanita.

ii. Kenyataan di atas boleh dibatalkan ketika seorang wanita mengerjakan solat bersendirian. Wanita dituntut mengerjakan solat bersendirian di rumahnya tanpa kehadiran kaum lelaki. Ketika itu, dia tidak perlu merapatkan tubuhnya kerana tidak dilihat oleh lelaki.

iii. Mereka mengatakan bahawa wanita mesti mengangkat kedua-dua tangan ketika bertakbir. Sedangkan perbuatan itu lebih memalukan berbanding merenggangkan tubuh.

Pendapat yang tepat, wanita boleh melakukan setiap perkara yang dilakukan oleh lelaki dalam solat. Dia mesti mengangkat tangan dan merenggangkan anggota tubuhnya. Dia mesti meluruskan tulang belakang ketika rukuk dan menjauhkan sedikit perut daripada kedua-duabelah pahanya.Begitu juga meninggikan kedua-dua belah paha daripada kedua lutut ketika sujud. Dia juga perlu bersimpuh di atas lantai (tawarruk) ketika tahiyat akhir. (Al-Syarh al-Mumti’, jil. 3, ms. 303-304)

Jika seorang wanita mengerjakan solat di tempat yang boleh disaksikan oleh kaum lelaki (tempat yang terbuka) seperti di Masjid al-Haram atau di tempat awam kerana terdesak, dia hanya perlu menjaga auratnya agar tidak terbuka, bukan merapatkan anggotanya. Al-Imam al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya, al-Majmu’, jil. 3, ms. 455, menyebut wanita berbeza daripada lelaki dalam hal mengerjakan solat hanyalah dalam perkara-perkara berikut :

i. Wanita tidak wajib solat berjemaah di masjid. Berbeza dengan lelaki, dia diperintahkan berjemaah di masjid.
ii. Kedudukan saf imam wanita sama dengan lelaki, iaitu sebaik-baiknya, imam berdiri di tengah antara saf makmum.

iii. Makmum wanita hendaklah berdiri di belakang makmum lelaki, bukannya sama saf dengan lelaki.

iv. Saf paling belakang lebih afdhal daripada saf paling depan apabila wanita mengerjakan solat bersama-sama lelaki.

Demikian secara ringkas penjelasan mengenai persoalan perbezaan cara mengerjakan solat antara kamu wanita dengan kaum lelaki. Apa yang benar, tidak wujud sebarang perbezaan yang ketara antara kedua-duanya melainkan dalam perkara-perkara tertentu sahaja yang sangat terpencil sebagaimana yang telah dijelaskan oleh al-Imam al-Nawawi rahimahullah di atas. Semoga risalah ini dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca, khasnya bagi para muslimah. Wallahu-a’lam.

Alhamdulillah, pada ketika ini terdapat sejumlah buku dan VCD di pasaran yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan oleh sidang pembaca sekalian bagi memahami tata-cara perlaksanaan solat Rasulullah berdasarkan keterangan al-hadis atau al-Sunnah yang sahih. Antara buku-buku yang penulis cadangkan adalah:

i. Sifat Solat Nabi: Kompilasi 3 Ulama (Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz, Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dan Syaikh Muhammad bin Al-‘Uthaimin), terbitan Media Tarbiyah, Bogor, Jawa Barat, Indonesia, 2007. Buku ini sangat bernilai dalam memberi kefahaman yang jelas berkenaan kaifiat perlaksanaan solat berdasarkan tuntunan Sunnah Rasulullah yang sahih secara teori dan praktikal yang menyeluruh, bermula dari wudhuk sehinggalah kepada zikir-zikir selepas solat. Dipersilakan merujuk di sana.

ii. Solatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Solat (berserta VCD), Abu Farouk Rasul bin Dahri, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2007.

iii. Sifat Solat Nabi, Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani (edisi lengkap dalam 3 jilid), terbitan Griya Ilmu, Jakarta, 2007.

iv. Sifat Shalat Nabi (Edisi Revisi), Muhammad Nashiruddin Al-Albani, terbitan Media Hidayah, Yogyakarta, Indonesia, 1996.

Perhatian: Untuk membuat tempahan buku atau VCD sifat solat Nabi, sila hubungi sahabat penulis di talian: 013-3701152 (Saudara Nawawi), 014-8711474 (Saudara Ismail) dan 017-6240390 (Saudara Abu Nurul).

Penulis : Mohd Hairi Nonchi

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP