Jumaat, 26 September 2008

Hambatan Dunia Yang Menyesakkan

Entah apa cara sebenar mengurusi kehidupan. Kerana hidup ini bukan sekadar perjalanan tapi apa yang dikutip untuk menjadi bekalan. Bekalan ini diharap bisa menampung kehidupan di sana yang lebih abadi dan hakiki. Bagaimana ingin difahami kaedah sebenar? Bagaimana ingin dijadikan setiap urusan dikembalikan dengan penilaian Allah Taala lalu membuahkan hasil yang bernama Redha? Dunia adalah ladang akhirat. Ungkapan mudah,tetapi menempuh sejuta kepahitan untuk memahami apatah lagi merealisasikannya. Bagaimana ingin dikatakan berbuat urusan itu kerana Allah jika yang lebih terutama dan wajib diabaikan? Solat yang kelam kabut,tanpa penghayatan dan khusyuk, terkadang tidak sempat menatap ayat-ayat Allah,keletihan yang berpanjangan lalu ketinggalan segalanya..
Argh…urusan dunia ini sangat melelahkan. Walaupun ia ditakrifkan atas nama ‘study’ tapi tiada apa-apa nilai dirasa kerana hanya menambah kekosongan jiwa. Lari dari tuntutan sebenar dalam menjalankan tugas khalifah. Menjauhkan dari kebenaran,mengundang sengsara di jiwa. Seringkali hati berasa tersalah kerana tidak mampu menggapai keduanya. Terkadang jiwa ini tewas, terasa ingin menyerah kalah. Terasa ingin lari tapi tidak tahu entah ke mana.
Hati memberontak dengan melahirkan kebencian atas beberapa urusan. Kelas ditinggalkan,kerja diabaikan sedangkan itu adalah amanah yang patut diselesaikan. Jiwa ini lemah,sangat lemah. Setiap hari digagahkan hati mengumpul kekuatan tapi sukar digapai. Hijab diri ini dengan kebenaran Allah masih tebal. Dosa yang meliputi, kekotoran yang mewarnai fikiran sukar dikikis. Ingin disucikan jiwa dengan sebenar-benarnya.
Jika hambatan dunia ini bisa menghulur jalan pada Ilahi, tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan hati. Tapi hambatan ini semakin memesongkan diri.
Hati ingin bersujud,ingin memohon keampunanNya..
Tunjukkan jalan kebenaran,berikan kekuatan.
Ya Allah,Engkaulah Penentu Segalanya.
2:30 pagi
27 Ramadhan 1429 Hijrah

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP