Sabtu, 30 Ogos 2008

Mendoakan Kerahmatan Kepada Yang Berangkat


Alhamdulillah. Kehangatan Ramadhan makin terasa bagi yang menantikannya. Dan tika ini mungkin ramai insan yang mencari jalan untuk mempertingkatkan ibadah dan mengislahkan keihlasan hati. Ada seorang sahabat ana disini baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah. Seraut kesyukuran ana lafazkan atas rezeki yang dilimpahkan pada sahabat ana di atas peluang ini.


Ketika ini juga tentu ramai pelajar sudah berangkat ke Mekah atas tujuan menuntut ilmu. Moga dipermudah urusan.


Di kesempatan ini,saya hanya mampu mengucapkan kata-kata dan berdoa dari jauh. Peluang untuk menjejakkan kaki ke sana adalah rahmat yang besar dari Allah. Moga diikhlaskan niat atas setiap derap langkah perjalanan menuju Allah. Nilai ibadah yang maksimum akan dirasai.


Sebelum berangkat,perbanyakkanlah solat taubat atas segala kekhilafan yang kita lakukan selama ini lalu membuahkan dosa dan titik hitam di hati. Rendahkan hati,hulurkan tangan dan lafazkanlah kalam seribu kemaafan kepada semuanya. Seperti kata ustaz yang disampaikan semalam bahawa taubat adalah permulaan langkah dalam menuju Allah SWT.


Makkah Al-Mukaramah adalah tanah suci dan terpelihara. Tersergamnya satu bangunan yang melambangkan ketundukan dan puncak ketaatan kita yang sebenar. Segala kebatilan dan kebenaran kita lakukan selama ini akan diperlihatkan dengan kuasaNya seumpama layaran kaca televisyen. Sebesar zarah kejahatan yang kita lakukan akan dipertanggungjawab.

Ya Allah..bagaimana pula diri ini yang sentiasa diselaputi dosa saban hari.


Kemuliaan kita,kehinaan kita semuanya di tangan Allah jua. Raja Namrud tewas kerana seekor nyamuk. Kematian datang tanpa dijangka.


Moga muhasabah diri jadi amalan. Saya doakan juga moga kepulangan nanti adalah kepulangan iktibar dan membawa keimanan yang dalam. Moga menjadi insan muslih. InsyaAllah.


InsyaAllah juga saya akan menulis post terbaru tentang pengalaman pengajian saya di pondok. Tak lama pun lebih kurang hampir 6 bulan. Pondok mana? Serambi Makkah gelarannya. Untuk lebih detail tentang lokasi, pengajian dan apa-apa sahaja nilai berharga akan saya luahkan nanti.
Syukran.




Ahad, 24 Ogos 2008

Rantaian Jiwa Melalui Penulisan


Penulisan.
Ya,lahir dari perkataaan menulis. Dengan gabungan huruf-huruf yang mempunyai sifat tersendiri lalu diterjemah makna.Makna sehingga semua dapat memahami.

Menulis lagi.
Permulaan saya dalam menulis bukan baru lagi. Bermula dari sekolah menengah,saya tertarik dengan novel 'Diari Seorang Guru'( tidak ingat siapa penulisnya).Lalu saya menyimpulkan bahawa bahasa jiwa berhak untuk ditafsir. Dan penafsiran ini dilakukan dengan penulisan.

Kerana dengan penafsiran ini,yang benar atau tidak akan terungkai. Jika ia hampir tersesat terasa lebih mudah untuk mencari jalan kembali.

Namun dalam penulisan blog,saya masih baru setahun jagung.Baru sahaja belajar buat blog dan mengaktifkan jari di kekunci komputer. Untuk menulis yang dirasa dan melahirkan sesuatu yang berada dijiwa.

Dan sebab inilah saya menulis di sini.
Kerana jiwa. Jiwalah yang akan memacu langkah kita.
'' maka dia mengilhamkan kepadanya(jalan) kejahatan dan ketakwaan,sungguh beruntubg orang yang menyucikannya(jiwa itu) dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. ''
( Surah As-Syam ayat 8-10)
Jiwa yang masih dalam proses merangkak dalam memahami erti kehidupan dan menyingkapi erti taqarrabailallah.

Kerinduan terhadap penyucian jiwa yang natijahnya membawa erti kedekatan sebenar kepada Allah SWT. Semuanya gar bait-bait hati yang berkata,cetusan rasa dan hamparan hati dilahirkan dalam fitrah asalnya yang suci. Fitrah yang memegang pada kalimah bahawa Allah itu Tuhanku dan Nabi Muhammad itu Rasulku.
Kalimah agung ini tidak semudah yang diucap.Merealisasikannya dan menterjemah dalam setiap titian kehidupan memerlukan tidak sedikit pengorbanan.
Pengorbanan jiwa.

Dan saya meletakkan bahawa setiap yang saya mampu lahirkan melalui kalam adalah amanah dan pengajaran. Amanah akan dipertanggungjawab di akhirat nanti dan pengajaran ini akan membawa saya menelusuri nilai takwa.
Isi bukan sekadar omongan kosong untuk melepaskan lelah lantaran kesibukan urusan,bukan penyampaian yang memerlukan pujian. Ia adalah proses panjang dalam merungkai segala rantaian jiwa.

Dan ia adalah sebagai latihan kepada kemahiran diri lantaran mengagumi tokoh-tokoh agama yang menyumbang hasilnya melalui penulisan. Mereka lakukan atas dasar kehambaan dan keikhlasan,mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Yang Esa.Jalan akhirnya yang diharap adalah mardhatillah.

Segenap jiwa dan detikan nafas saya mekar dengan kuntuman harapan agar usaha ini juga mampu meleraikan segala kekusutan yang timbul atas kekhilafan diri atau apa-apa jua kesilapan yang terbit dari rasa hati.
Perjalanan ini sungguh sulit dengan rintangan.

Tetapi dalam rintangan ini,timbul jua saat indah yang tiada tara,kebahagiaan seketika yang merubah seluruh duka dan menghadiahi inspirasi kepada kegersangan jiwa. Itulah cinta.

Ketika hati melangkah,
dan memerlukan pautan
Keluhuran mula dihulurkan,
Ketika hati mula disentuh,
Jiwa seolah bersatu.
Air mata rindu di keheningan malam
mengalir buat pertama kalinya
Perit sakit yang tiada terasa
Kuntukan mekar senyuman
mula mengeluarkan keharumannya.




Ledakan cinta kecil ini akan mamacu kepada kecintaan yang abadi.

Allah Tujuan Kami,
Rasulullah Teladan Kami,
Al-Quran pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Mati di jalan Allah adalah cita--cita kami tertinggi.(Petikan lagu nasyid).


2:13 pagi
15 Syaaban 1429 Hijrah
17 Ogos 2008

Khamis, 14 Ogos 2008

Menyuci Jiwa Sanubari Demi Kasih Suci


Hati sanubari mula terbina,

Segenap jiwa yang suci mula merasa,

Akan fitrah kasih kurniaan Yang Esa.

Fitrah yang mencipta keagungan dlm beribadah kepadaNya

,Menuntun jiwa untuk tunduk dan sujud di hadapanNya,

Mendidik diri bertawakkal sepenuhnya,Akan setiap garis takdir dan ketentuanNya

.Cinta suci milik Illahi,

Rindu abadi dari Ya Rabbi,

Andai syurga dan redha yang janji,

Kekalkanlah jiwa dalam taman ini,

Diiringi barakah yang melimpahi,

Hanya Allah jua pemilik Cinta Sejati

Memulakan Segalanya dengan Kalimah Allah Yang Maha Esa

Langkah diayun laju. Ada assingment yang perlu disiapkan dan perlu dihantar esok. Laptop rosak jadi terpaksalah berjalan dalam 20 minit untuk ke perpustakaan. Berjalan dalam keseorangan dan suasana agak lengang pada waktu malam menimbulkan sedikit perasaan bimbang atas keselamatan diri sendiri. Namun,tawakal jua jadi pegangan ketika ini.

Sebelum tiba di perpustakaan, jalan yang perlu dilalui adalah bersebelahan dengan sebuah fakulti. Kelihatan sebilangan besar pelajar disekitarnya. Ada yang seperti duduk berbincang dalam bulatan. Ada juga yang seperti menunggu arahan untuk berbuat sesuatu dari'leader' di depan. Apa yang menarik perhatian adalah sekumpulan pelajar terdiri dari lelaki dan perempuan berdiri dalam satu kumpulan. Bukan berdiri semata tapi sudah mula hendak menggoyangkan badan dan rupa-rupanya mereka hendak menyanyi dan berjoget. Lagu sudah mula kedengaran.

''Kuat la sikit! Kalau korang taknak kena marah,korang kena nyanyi kuat-kuat.'' Tersentak hati. Tersentak kerana yang saya nampak dalam kumpulan jogetan itu adalah beberapa gadis. Gadis muslimah kerana tudung yang menutupi mahkotanya.

Malu mula menguasai diri tatkala melihat perlakuan tersebut. Dalam hati saya hanya mampu berkata...Astaghfirullah,Astaghfirullah dan Astaghfirullah.

Saya buka langkah semakin laju.Terdengar lagi ledikan suara senior memarahi kumpulan jogetan itu kerana nampak belum memuaskan hatinya atas persembahan itu. Saya seperti ingin terduduk. Kepedihan jiwa terungkai melalui air mata yang keluar.

Ya Allah..

Saya malu. Malu kerana sebilangan yang menari dan berjoget itu adalah perempuan. Perempuan yang sebenarnya Allah tercipta sangat terpelihara dan sungguh istimewa. Bersifat dengan kelembutan,ketenangan atas sinar iman yang mewarnai dirinya. Dan keistimewaan itu diruntuhkan dan dilenyapkan secara sendiri. Apakah sudah pergi nilai iman itu?

Sabda Rasulullah bersabda: "Biarkan dia, kerana malu itu sebahagian dari iman".
Begitu juda dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w telah bersabda yg bermaksud; “Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.”

Malu itu sentiasa baik dan melahirkan kebaikan. Malu itu adalah pengawal kepada maruah diri. Malu juga akan menjadi pembatas kepada nafsu dan syaitan yang mula menguasai diri. Sekurang-kurangnya berfikirlah atas hatimu yang pada asalnya adalah fitrah yang suci. Jika benar pun tindakan ini ditaklikkan atas arahan pusat pengajian, berpada-padalah. Ketika hati sudah mula timbul rasa tidak tenteram,segeralah mencari solusi dengan mengguna pendekatan yang lain.

Marah.Ya,saya timbul perasaan marah. Kerana mereka rela dimarah dan ditengking dengan kuat oleh seorang senior bukan beragama Islam. Marah kerana disitu tiada apa-apa faedah atau boleh mendatangkan kebaikan yakni kebaikan dunia atau akhirat.

Raskanlah pengawasan Allah atas setiap perlakuan kita.Itulah maraqabatullah.
Wahai sahabat, kembalilah...

Kerana saya mencintai kalian yang seagama dan dibawah umat Nabi Muhammad SAW.

Moga Allah memberi petunjuk dan dikekalkan iman atas jalannya.

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP