Jumaat, 1 Mei 2009

Mengapa Mesti Kecoh Soal Bid'ah?


Bid’ah. Ia adalah satu istilah yang menjadi ’mind setting’ di kalangan orang awam sebagai suatu yang menakutkan. Jika orang yang anti wahabi diangkitkan soal bid’ah pada dirinya,maka nama Dr Asri akan terlintas di fikirannya. Jika orang kampung pula, sebut pasal bid’ah teringatlah budaya tahlil dan kenduri arwah yang diwar-warkan sebagai haram tetapi mereka sendiri pun hairan,

’Jika haram,mengapa ustaz-ustaz dan orang agama pun buat?”.

Itu salah satu dari sudut pandangan yang sangat biasa.

 Namun yang paling menarik adalah tanggapan para daie dan pendakwah tentang bid’ah.

Ada sesetengah pendakwah yang menganggap remeh dan memandang isu bid’ah ini adalah hal yang sepele(mengikut bahasa orang Indonesia). Malah isu ini tidak perlu disebut atau dibangkitkan kerana boleh mencetuskan konflik antara ummah. Malah pendakwah mempunyai banyak lagi masalah umat yang perlu difikirkan.

 Mungkin juga ada yang beralasan bid’ah ini sendiri adalah khilaf para ulama’maka kita tidak harus melibatkan diri di dalamnya.

 Maka,betulkah kata-kata ini?

 Sebagai seorang daie yang berilmu, tanggapan-tanggapan dan kesalahfaham mengenai sesuatu isu agama ini haruslah dipulangkan kepada sumber asalnya yakni Al-Quran dan Sunnah sebagaimana yang diperintahkan Alah s.w.t kepada kita.

 Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.(Surah an-Nisa’ ayat 59)

 Perkara terpenting untuk memahami isu sensitif ini,kita mestilah mengelakkan perlakuan taklid buta atau sekadar mengikut fahaman orang tertentu yang kita thiqah tanpa dalil yang sahih.

 Disini mungkin hanya menjelas sekadar ringkas mengenai apa itu bid’ah kerana yang penting adalah kita mengetahui amaran serta peringatan akan bahaya dan buruknya bid’ah. Maka selepas ini kitalah yang seharusnya pula berusaha mengenal bid’ah dengan lebih baik.

 Imam Al-Syatibi mengatakan bid’ah adalah ”Jalan yang direka di dalam agama,yang menyerupai syariat,tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah swt.                          ( al-Syatibi,al-I’tishom)

 Menghuraikan secara tuntas tentang bid’ah adalah seperti berikut:

  1. Bid’ah ialah jalan syarak yang baru direka dan dianggap ibadah dengannya. Adapun membuat perkara baru dalam urusan dunia tidak dinamakan bid’ah.
  2. Bid’ah ialah sesuatu yang tidak ada asalnya dalam syariat.Adapun apa yang ada asalnya dalam syariat tidak dinamakan bid’ah.
  3. Ahli bid’ah menganggap jalan,bentuk, cara bid’ah mereka adalah satu cara ibadah yang dengannya mereka mendekatkan diri kepada Allah.
  4. Bid’ah kesemuanya buruk. Apa yang dinamakan bid’ah Hasanah yang membabitkan perkara duniawi bukanlah bid’ah pada istilahnya.

 Bid’ah bukanlah perkara kecil kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi peringatan dan amaran akan hadirnya bid’ah ini pada umatnya kelak.

 Sabda baginda: ” Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahyidin(mendapat petunjuk).Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham.Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan(dalam agama)kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah sesat,

(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Tirmizi,berkata al-Tirmizi:Hadis ini hasan sahih’,Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunan mereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalanm Shahihnya dan al-Hakim dalam Mustadrak dengan menyatakan:” Hadis ini sahih”.Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi).

 Sabda Nabi s.a.w lagi : “ Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini(Islam)apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak”.(HR Bukhari dan Muslim.Shahih Muslim hadith no 1718(Kitab al-Aqdiyyah,bab kritikan ke ats hukum batil dan perkara ciptaan baru.))

 Sabda nabi lagi: “ … Sesungguhnya Bani Israel berpecah kepada 72 puak dan umatku akan berpecah kepada 73 puak.Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak.

Mereka(para sahabat )bertanya: “ Apakah puak itu wahai Rasulullah s.a.w?”

Jawab baginda , “ Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.”(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam kitab Sunannya dan beliau berkata: “ Hadis ini hasan gharib”. Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanad hadith ini hasan. Al-Albani juga menyatakan ianya hasan).

 Kaedah mudah untuk mengenali bid’ah yang banyak diamalkan dalam masyarakat kita dan sering juga berlaku dalam sesetengah gerakan dakwah adalah mengamalkan zikir atau berwirid beramai-ramai atau berkumpulan.Perbuatan ini mula timbul dizaman para sahabat lagi. Tidak salah jika niat asal adalah untuk mengajar yang lain membaca zikir tetapi yang menjadi masalah adalah perkara ini seolah-olah menjadi kelaziman dan sehingga tidak dikenalpasti dimana kedudukan syariat sebenar atas tuntutan adab berzikir.

 Ada satu riwayat yang sahih bahawa ’Abdullah b Masudr.a pernah melihat satu kaum di masjid, mereka membuat beberapa halaqah(kelompok),setiap halaqah ada seorang yang memimpin dan di tangan mereka ada biji-bijian tasbih ,lalu(si pemimpin) berkata: ”Bertakbir seratus kali,” dan mereka bertakbir seratus kali,lalu berkata:” Bertahlillah seratus kali,” dan mereka bertahlil seratus kali,kemudian berkata: ” Bertasbihlah seratus kali,” dan mereka bertasbih seratus kali.

Kamudian Abdullah b.Mas’ud mendatangi halaqah-halaqah zikir tersebut,lalu berkata:  ”Apa yang kalian lakukan?” Jawab mereka: Wahai Abu Abdirrahman,(ini adalah) batu kerikil(biji-bijian tasbih) yang kami pakai untuk menghitung tahlil dan tasbih.”

Abdullah b Mas’ud berkata: ” Hitung lah kejelekan dan kesalahan-kesalahan kalian,aku jamin tidak akan hilang kebaikan-kebaikan kalian.

Celakalah wahai umat Muhammad,alangkah cepatnya kebinasaan kalian,mereka sahabat-sahabat Nabi s.a.w banyak yang masih hidup,ini pakaiannya belum rosak dan bejananya belum hancur,demi Rabb yang jiwaku ada di tangan-Nya,apakah kalian merasa lebih baik dari agama Nabi Muhammad s.a.w,atau kalian membuka pintu kesesatan?”

Mereka berkata: ”Demi Allah wahai Abu Abdirrahman,kami tidak menginginkan kecuali kebaikan!”

Beliau berkata:” Betapa banyak orang yang menginginkan kebaikan tetapi tidka benar caranya!Sesunguhnya Rasulullah bersabda, Nanti akan ada suatu kaum yang membaca Al-Quran tidak melewati tenggorokan mereka!”.

”Demi Allah,aku melihat apa yang disabdakan Nabi s.a.w tersebut kebanyakan dari kalian”.

( Sunan ad-Darimi I/68-69,Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahihaah no 2005)

 Bid’ah itu sewajibnya ditinggalkan kerana setiap bid’ah yang diamalkan itu secara automatiknya akan menenggelamkan sunnah sedikit demi sedikit.

 Abdullah b Mas’ud juga perah menyebut: “ Sederhana dalam suatu sunnah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam suatu bid’ah.”

 “ Sesungguhnya bid’ah yang kecil adalah pembawa kepada bid’ah yang besar.”

( Silsilah al-Ahadith al-Sahihah,jld5,ms11)

 Walaupun kadang-kadang kita menggunakan alasan berbuat suatu perkara bid’ah atas niat kebaikan tetapi perkara sunnah akan hilang di masa hadapan.Generasi seterusnya masih tidak akan mengenali kedudukan manhaj Islam yang sebenar.Maka sehingga akhir kiamat lah kebenaran tetap tidak boleh disampaikan.

 Abdullah b Umar berkata: “Setiap bid’ah adalah kesesatan meskipun orang memandangnya baik.”

Rasulullah juga bersabda:

“ Tiada seorang nabipun kecuali dibangkitkan oleh Allah s.w.t ada bersamanya umat yang menjadi penolongnya,para sahabatnya yang mengambil agama melalui sunnahnya dan mencontohi dalam melaksanakan perintahnya.

(H/R Muslim,kitab al-Iman I/69.Ahmad dalam musnadnya I/458)

 Pencinta bid’ah tidak dinamakan ahli sunnah kerana sunnah berlawanan dengan bid’ah.

 Syeikh Abdul Rahman As-Su’di berkata:  ” Ahli sunnah ialah mereka yang menyelamatkan diri dari bid’ah,mereka benar-benar berpegang dengan apa yang ada pada nabi s.a.w dan sahabat dalam keseluruhan perkara pokok.

(Fatwa Sa’diah hlm.63 Abdul rahman an-Nasr as-Su’di)

 Menentang bid’ah adalah kewajipan setiap umat Islam yang berpegang teguh kepada salafush Shalih,serta mereka yang mencintai kebenaran dan memelihara kesucian agama hingga ke akhir kiamat.

 Ibnu Taimiyah pula mengatakan memerangi ahli bid’ah adalah jihad.

“ Sesungguhnya menentang ahli bid’ah adalah suatu jihad”.

( Majmu’ Fatwa 4/13)

 Berkata salah seroang dari imam Salaf Yahya b Yahya r.a:

“ Membela sunnah lebih mulia dari berjihad”.

Imam Ahmad mengatakan bahawa ” Membantai bid’ah itu lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.’’

 Beliau juga berkata, ” Para propagandis bid’ah tidak akan diterima taubatnya.Sedangkan orang yang tidak mengajak manusia kepada bid’ahnya,maka taubatnya masih bisa diterima.”

 Berkata Abu Hanifah r.a:

” Hendaklah kamu berpegang dengan athar dan jalan salaf.Berjaga-jagalah kamu dari setiap yang diada-adakan kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah.”

 Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 153:

”Bahawasanya ini adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia,jangan kamu mengikuti jalan-jalan kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari perintahNya.Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.”

 Rasulullah s.a.w pernah menggariskan dan memperjelas maksud firman di atas:

"Pada suatu ketika Rasulullah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allaj,kemudian menggariskanbeberapa garisan disebelah kanannya dan disebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut. Kemudian membacakan ayat: Bahawasanya ini adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia,jangan kamu mengikuti jalan-jalan kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari perintahNya.Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa. ”

(H/R Ahmad ” Musnad” I/435.Al-Hakim ” al-Mustadrak” 2/318.Ibn Abi’Asim(17) As-Sunnah Hlm.13)

 Berkata mujahid r.a: “Jalan-jalan” bermaksud : “ Bid’ah-bid’ah dan syubhat-syubhat”

 Komentar al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai isu amalan-amalan yang berkaitan dengan bid’ah yakni Nisfu Sya’ban:

Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w dan para sababat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban,membaca doa tertentu dan solat tertentu sepeti yang kita lihat pada sebahagian negeri Islam. Bahkan disebahagian negeri,orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Ysin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umuar,dua rakaat yang lain pula dengan niat panjang umur,dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak tergantung pada manusia,kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf(para sahabah,tabi’in dan tai’ tabi’in).Ianya satu doa yang panjang dan menyanggahi nusus(nas-nas Al-Quran dan Sunnah),…

 Perhimpunan(malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid’ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan kebaikan ibadat sekadar yang dikatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf,segala keburukanitu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan yang sesat itu dalam neraka”.

 Islam adalah agama wahyu,turunnya dari Allah s.w.t maka ia sudah disempurnakan. Tidak perlulah kita menggunakan alasan-alasan yang dikeluarkan dari akal fikiran kita dan menggunakan alasan-alasan manusia untuk terus berbuat bid’ah.Kerana begitu sedikitlah manusia yang hanya ingin mendengar dan taat kepada kebenaran.

Bid’ah adalah isu agama yang melibatkan pemahaman kita kepada kesucian syariat.Jika perkara sekecil ini pun kita tidak mengenali,bagaimana kita ingin membawa manusia ke arah akidah yang benar?

Rasulullah,para sahabat,tabi’ serta yang seterusnya termasuk ulama salaf memandang seruius isu bid’ah malah setiap dai’e yang memperjuang masyarakat untuk kembali kepada agama Allah dituntut untuk menyebarkan akan bahayanya bid’ah kepada masyarakat.

 Malah kita dilarang sekali mempercayai dan bersama ahli bid’ah,memuji atau menyanjungnya dan para sahabat diharamkan dari bermajlis dengan mereka kerana ada sebuah athar yang mereka gigit dan pegang dengan kuat:

" Barangsiapayang bernajlis dengan ahli bid’ah tercabut darinya kemanan dan diserahkan pada dirinya sendiri dan barangsiapa yang berjalan menemani ahli bid’ah bererti berjalan untuk menghancurkan Islam”(Al-I’tisam I/107.Asy –Syatibi)

 "Tiada di dunia seorang pelaku bid’ah kecuali membenci ahli hadith maka apabila seorang lelaki melakukan bid’ah(dengan membenc iahli hadis) dicabut kemanisan dari hatinya.”

(Perkataan al-Hafiz Ahmad b Sanan al-Qattan Abu Ja’far al-Wasiti.Seorang ahli hadis melahirkan pakar hadis yang enam kecuali at-Turmizi. Wafat 258H)

 Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

(Surah al-Baqarah ayat 147)

 Moga-moga kita termasuk dikalangan umat manusia yang tegar mempertahankan sunnah dan menyebarkan kepada masyarakat kedudukan sebenar bid’ah didalam syariat Islam. Kerana Islam diambil bukan hanya mengikut hawa nafsukita,tetapi kita harus bermujahadah untuk menerima keseluruhan tuntutan ke atas umat manusia.

 Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.(Surah Al-Baqarah ayat 208)

 Sebagai penutup,” Wahai manusia-manusia yang sinis dengan bid’ah sudah hadir kalamullah dan dalil Rasulullah s.a.w serta para ulama kepadamu, maka apakah kalian tidak ingin memperkecoh hal bid’ah?

 Rujukan

  1. Al-Quran(www.searchtruth.com)
  2. Bid’ah Hasanah Istilah Yang disalahfahami-Dr Asri
  3. Manhaj Salaf Akidah Salaf-Rasul b.Dahri
  4. Siapakah Ahli Sunnah Yang sebenar?- Dr Azwira abdul Aziz
  5. Qada dan Qadar dalam pandangan ulama salaf-Abu Abdurrahman Ali b.As-Sayyid Al Washifi

 

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP