Sabtu, 18 April 2009

Mencermati Akidah Diri Kerana Keberadaan Sebagai Daie




www.syaukahkarimah.blogspot.com

 Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik."(Surah Ali Imran ayat 110)

 Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a mengenai ayat ini

''Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,’’Dia berkata :Kalian adalah sebaik-baik umat manusia untuk manusia lain. Kalian datang membawa mereka dengan belenggu yang melilit leher mereka sehingga mereka masuk islam.’’

 Demikian juga yang dikatakan Ibnu A'bbas,Mujahid, ’ Athiyah al-’Aufi,’Atha’, Rabi’ b Anas.

Imam Ahmad meiwayatkan dari Durrah binti AbuLahab,ia berkata: " Ada seseorang berdiri menghadap nabi s.a.w,ketika itu beliau berada di mimbar lalu orang itu berkata:

"Ya Rasulullah,siapakah manusia terbaik itu?Beliau bersabda : " Sebaik-baik manusia adalah yang paling hafal Al-Quran, paling bertakwa kepada Allah, paling giat menyuruh yang ma’ruf dan paling gencar mencegah kemungkaran dan paling rajin bersilaturrahim di antara mereka.’’ ( HR.Ahmad)

Maka dengan dalil inilah,mereka yang cerah hatinya mula menggerakkan langkah-langkah dalam rangka menyampaikan kebenaran. Keberadaan diri sebagai dai’e bukan sekadar menuntut mengajak orang kembali kepada kebenaran tetapi mengajak diri dan orang lain mengerti kebenaran yang sebenar.

"Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu." (Surah Al Baqarah ayat 147)
Namun dalam kelincahan kita bergerak dan berdakwah,sudah dicermatikah dimana kedudukan sebenar akidah kita?

Jika kita mengaku kita mengamalkan akidah Ahli-Sunnah Wal Jamaah,sudah faham benarkah apa itu akidah ahli Sunnah wal Jamaah?

 Menurut  Dr Shalih b Fauzan b Abdullah al-Fauzan. Akidah adalah apa yang diyakini oleh seseorang.Jika dikatakan, ’’ Dia mempunyai akidah yang benar,’’ bererti akidahnya bebas dari keraguan.

Syariat akidah itu sendiri terbahagi kepada dua:i’tiqadiyah dan amaliyah.

 I’tiqadiyah adalah hal-hal yang tidak berhubungan dengan tatacara amal.Seperti i’tiqad(kepercayaan) terhadap rububiyah Allah dan kewajipan beribadah kepadaNya, juga beri’tiqad terhadap rukun-rukun iman yang lain. Hal ini disebut Ashliyah(pokok agama).

 Sedangkan amaliyah adalah segala apa yang berhubunga tatacara amal.Seperti solat,zakat,puasa dan seluruh hukum-hukum amaliyah.Benar dan rosaknya amaliyah tergantung dari benar dan rosaknya i’tiqadiyah.

 Jangan berkata kita sudah fahami benar tentang akidah hanya sekadar kita memberi pengisian maksud dua kalimah syahadah sedangkan para ulama salaf menghasilkan berjilid-jilid kitab hanya untuk makna serta kaedah penghayatan sebenar dua kalimah syahadah tersebut.

 Apabila berlaku kejahilan ilmu maka  tidak sedikit yang mentafsir maksud kalimah syahadah lailahailallah dengan beberapa penafsiran yang batil.

 Dalam menentukan kedudukan akidah diri,bukan sekadar melihat betul atau tidak rukun solatnya,bukan juga melihat kebolehan melantunkan ayat-ayat Al-Quran dengan bai,bukan juga dengan banyaknya amal ibadah yang dibuat tetapi melihat kepada manhaj yang menjadi rujukan utama individu tersebut.
Semua manusia mengaku mengikutAl-Quran dan Sunnah tetapi cara ikutan juga perlu diperhatikan.Dalam memahami ilmu agama bukan sekadar memebedah buku-buku agama atau mendengar pengisian dari naqibah tetapi perlu lebih berguru dengan mereka yang lebih arif.

Terkadang dengan mudah kita mentafsir ayat Al-Quran hanya mengikut terjemahan yang ada.Memang setiap ayat Al-Quran itu terkandung yang jelas tetapi kejelasan yang bagaimana? Merujuk tentang situasi apa dan kaedah mana boleh dikaitkan dengan ayat tersebut?

Disinilah menjadi kewajipan kepada kita untukmengenalpasti pokok pangkal kedudukan agama Islam yakni manhaj yang suci daripada Rasulullah lalu diwarisi kepada sahabatnya dan seterusnya ulama salaf. Mereka ini lebih dekat,lebih memahami apa yang disampaikan Rasulullah s.a.w.

Berkata al-Auzaii rahimhullah:

 " Hendaklah engkau kembali(berpegang) kepad athar para salaf walaupun engkau disingkir olwh manusia.Berjaga-jagalah engkau dari pendapat(buah fikiran)seseorang,sekalipun ia merupakan kata-kata yang indah(mempesonakan)." 

 Berkata Abdullah b Daud rahimahullah:

 "Bukanlah agama itu mengikut perkataan seseorang tetapi agama itu ialah dengan berpegang(mengikut)kepada athar”.

Berkata Ibn Hazam rahimahullah:

 "Ahli Sunnah yang kami nyatakan,mereka adalah Ahli Hak dan selain mereka adalah Ahli Bid’ah.(Ahli hak) adalah para sahabat radiallahuanhum serta sesiapa yang mengikut jalan mereka terutamanya para tabi’in rahmatullah ’alaihin. Kemudian asbabul hadith dan sesiapa yang mengikut mereka dari kalangan fukaha(Ahli Fikah) dari satu generasi ke satu generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini.Begitu juga sesiapa yang mencintai mereka dari kalangan orang awam samada di timur atau di barat.”(Lihat Al-Fasl.2/113.Ibnu Hazam)

Sunnah Rasulullah s.a.w bukan sekadar berdakwah.

Tetapi sunnah menurut ulama usuluddin(akidah):

“ Sunnah ialah hidayah(petunjuk) yang telah ditunjuk ajar oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabt baginda,sama ada yang berupa ilmu, iktiqad(kepercayaan),perkataan atau perbuatan yang wajib kita ikuti.Diberi pahala orang yang mengikutinya dan berdosa orang yang menentangnya.

 Berkata Ibn Hazam rahimahullah:

 " Ahli Sunnah yang kami nyatakan,mereka alah Ahli Hak dan selain mereka adalah Ahli Bid’ah.(Ahli hak) adalah para sahabat radiallahuanhum serta sesiapa yang mengikut jalan mereka terutamanya para tabi’in rahmatullah ’alaihin. Kemudian asbabul hadith dan sesiapa yang mengikut mereka dari kalangan fukaha(Ahli Fikah) dari satu generasi ke satu generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini.Begitu juga sesiapa yang mencintai mereka dari kalangan orang awam samada di timur atau di barat. (Lihat Al-Fasl.2/113.Ibnu Hazam)

Setiap orang yang beriman adalah wajib bermanhaj(berittiba’ atau mengikut jalan sepenuhnya pasa Salaf-as Soleh.Ia adalah manhaj Al-Quran, di atas manhaj inilah Nabi s.a.w beramal yang diikuti oleh para sahabat dan semua a’immamah Salaf as-Soleh kemudiannya.Manhaj inilah menjadikan para sahabat golongan yang terpuji,paling sempurna dan terbaik.

Cara beribadah dalam manhaj sunnah sudah lengkap,cara beribadah juga sudah lengkap maka tidak perlu kita mereka-reka selain cara yang pernah diguna oleh Rasulullah s.a.w.

Imam Barbahari r.a berkata:

“ Tidak akan selamat seseorang hamba sehinggalah dia berittiba’ kemudian percaya dan(menjadi) seorang muslim. Sesiapa yang menyangka bahawa sesunguhnya masih terbaki sesuatu dari urusan Islam yang tidak dijelaskan kepada kita oleh para sahabat Rasulullah s.a.w maka ia telah membohongi mereka. ( Lihat Al-Manhaj Al-Ahmad 2/27-28)

 Para pendakwah terkadang ralit untuk memperhatikan diri sendiri sehingga menolak dari segala sumber luar yang cuba menyampaikan kebenaran.Sikap menyisihkan sumber tententu serta beranggapan yang salah tentang situasi tertentu banyak diamalkan dikalangan pendakwah.

Sepertimana  dengan prakata yang digunakan dalam Daurah Keilmuan Sebelum Berdakwah yang diadakan di Institut Qayyim baru-baru ini:

 "Tidak sedikit para pendakwah yang terbabas saat berdakwah, disebabkan ceteknya pengetahuan asas keislaman yang wajib diketahui setiap individu muslim apatah lagi pendakwah.

Ramai yang menyangka dakwah itu dimulakan dengan dan semata-mata mengajak manusia berakhlak baik dan membanteras gejala sosial, ada yang mengajak ummah ini agar peduli kepada isu Palestin, ada yang berjuang ke arah tertegaknya kembali Khilafah Islamiyyah, namun apakah itu da'wah yang telah dipercontohkan Nabi SAW?

Ya, kita akui, ya semua itu adalah salah satu elemen tarbiyyah dan matlamat dalam dakwah, namun buka itu prioriti, penumpuan dan permulaan da'wah yang telah dipercontohkan bukan sahaja Nabi kita Muhammad SAW, malah semua yang terdapat dalam rantaian Rasul yang telah diutuskan Allah SWT. Adapun dakwah para Rasul dimulakan dengan agenda tashfiyyah; yakni memurnikan aqidah keyakinan objek dakwah mereka.

 Jika kita teliti kembali Sirah al-Nabawiyyah, tidakkah pada zaman jahiliyyah telah sedia berlaku kerosakan sistem sosial dan akhlak yang begitu parah di tanah arab? Zina, pembunuhan anak, arak, pergaduhan puak-puak, syirik, dan lemahnya bangsa Arab dihimpit gergasi dunia; sehingga mereka tunduk, takut dan sujud kepada empayar Rom dan Parsi saat itu. 

Namun, Nabi Muhammad SAW tetap sahaja tidak memulakan da'wahnya dengan mengajak insan supaya berakhlak baik, peduli kepada nasib bangsa Arab yang lemah saat itu, menceritakan kerosakan bangsanya, tetapi, apa yang dimulakan Nabi SAW adalah da'wah tawheed!''

Jangan hanya kerana ego, dan mengatakan kita adalah serba tahu atau kita yang paling terbaik atas alasan pergerakan kita yang dibuat itu adalah paling mantap.

Dan mungkin juga atas rasa diri yang banyak berdakwah berbanding orang lain di luar sana.

Walaupun sejenuh manapun kita berbuat, jangan mudah terpedaya. Jangan mudah menyalah tafsir innamal a’ma lu binniat lalu kita menjadikan matlamat itu menghalalkan cara. Sedangkan taturcara berilmu dan beragama yang ditunjuki Rasulullah,para sahabat serta pengikutnya itu sudah terlalu mencukupi.

Hanya sanggup atau tidak untuk kita berbuat dan memahami.

Takutlah pada amaran Allah s.w.t:

" Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan-jalan orang yang beriman,Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya dan kami masukkan dia ke dalam Jahanam dan jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali"                                       ( Surah An-Nisa’ ayat 115)

 Rujukan.

  1. Tafsir Ibnu Kathir Jilid 2
  2. Kitab Tauhid Dr Shalih b Fauzan Jilid 1
  3. Manhaj Salaf Akidah Salaf Ustaz Rasul b Dahri
  4. www.purify-educate.blogspot.com  ( Daurah Keilmuan Sebelum Berdakwah)

 

 

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP