Jumaat, 9 Januari 2009

Mereka Yang Merasa Diri Paling Terbaik adalah Paling Tidak Terbaik

Melabelkan diri sebagai seorang pendakwah,seorang daie dan seorang murobbi memang mudah. Hanya perlu kerap menghadiri program yang ditetapkan, menghadiri syuro dan sebagainya maka sekarang sudah ada pegangan dalam diri mereka adalah pendakwah terbaik.

Ditambah lagi dengan nilai ibadah yang cukup terjaga,setiap hari dihitung-hitung akan kecukupan dan jika benar-benar mencapai target maka dia akan dikatakan telah mantap imannya. Bacaan Al-Quran dibaca dengan sangat laju untuk mencukupkan juzuk .Hukum tajwid mungkin dipandang sepi asalkan sedap sebut.

Salahkah kita berusaha mencapai yang terbaik dalam ibadah kita? Tidak,tidak pernah salah kerana itulah yang dianjurkan dalam agama.

Firman Allah SWT
Ertinya: dan siapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak bagiNya, sedang ia beriman,maka mereka yang demikian keadaannya,diberi pahala akan amal usahanya.(Al-Isra’:19)
Tetapi apa itu definisi terbaik dalam agama? Terbaik dalam ibadah atau amalan harian sesekali tidak bergantung pada kuantiti kerana banyaknya amal tidak menjamin kedudukan kita di akhirat. Untuk menjadi hamba yang benar-benar bertakwa adalah mencari ilmu untuk memperbaiki ibadah tersebut dan dalam masa yang sama cuba untuk konsistenkan pada kehidupan seharian.

Sesungguhnya Allah mencintai hambanya yang beramal sedikit tetapi istiqamah.
Kerap kali kita yang mengetahui sedikit lebih tentang Islam berbanding orang lain merasakan kita adalah yang terbaik. Seolah-olah apa sahaja yang dibuat dan dikeluarkan oleh kita adalah betul dan perlu dipatuhi. Melabelkan diri sebagai seorang daie dan pendakwah adalah mulia tetapi jangan lupa bahawa label inilah yang bisa memperdaya dan memakan diri.

Perasan atau tidak setiap kali memberi pengisian atau tazkirah seringkali kita menuding jari pada orang luar? Menceritakan akan solat mereka yang ditinggalkan,menceritakan mengenai aurat mereka yang tidak ditutup dan maksiat lain.
Pemberitahuan bertujuan peringatan amat digalakkan tetapi terkadang kata-kata kita bersifat menghukum dan memandang rendah akan yang lain. Kesalahan kita dianggap ujian tetapi kesalahan orang lain dianggap hukuman atau bala atas diri mereka.
Seringkali kita melabel diri kita sebagai pembawa kebenaran tetapi mengapa kita menolak kebenaran yang sedang disampaikan oleh orang lain? Atas nama apakah kita bergerak dan berjuang selama ini? Kerana jemaah atau apa?

Daie yang benar adalah daie yang semakin hari semakin memperbaiki diri dengan membukakan hati dengan perasaan rendah diri akan kekhilafan yang berada dalam dirinya. Daie yang ikhlas akan sedar dan mencari jalan yang paling benar serta mengikut secara tepat seperti yang digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah.

FirmanNya,:’’ Pada hari ini,Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu,dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.( Al-Maidah:3)

Maka untuk mengikuti Islam,tatur caranya adalah bersandarkan jalan yang ditunjuki Al-Quran dan Sunnah bukan hanya mengikuti persangkaan akal fikiran semata-mata. Matlamat tidak pernah sesekali menghalalkan cara.

Atas nama matlamat juga terkadang para daie berbuat tindakan hingga melukakan hati banyak pihak. Kita memperlakukan orang bawahan kita seperti manusia berdosa. Tiada adab dan etika. Sedikit kesalahan terus dihukum lemah iman. Berbeza pemikiran terus dianggap penentang. Orang yang tidak bersama kita dianggap paling rugi. Percakapan kita seolah-olah kita menganggap hanya kita yang mengetahui jalan menuju syurga.
Keegoan para manusia yang sering melabelkan diri mereka sebagai daie inilah yang sebenarnya meruntuhkan nilai dakwah yang cuba disampaikan. Jangan sampai orang tidak menerima dakwah kita kerana cara kita yang salah kerana kita sendiri sebenarnya telah mencemarkan kesucian Islam.

Diperjuangan manapun kita berada jangan sesekali kita menganggap kita berada di atas landasan yang seratus peratus betul. Secara tidak langsung kita akan menutup pintu hati kita segala ilmu berharga atau kebenaran yang mungkin tersembunyi.
Sesiapa yang benar-benar ikhlas hatinya dalam menjalani kehidupan sebagai manusia muslih,dia akan terus berusaha dan berusaha mencari ilmu yang hakiki.Bukan sekadar mengikut membabi buta kata orang yang kita label sebagai atasan atau taksubnya kepada landasan yang sedang kita berjuang bersama.

Janganlah kita menjadi seperti yang difirmankan Allah SWT:
‘’Kebanyakan penghuni neraka itu adalah jin dan manusia,di mana mereka diberi hati,tetapi tidak merasa,mereka diberi mata,tetapi tidak melihat dan mereka diberi telinga tetapi tidak mahu mendengar.Mereka itu bagaikan haiwan malahan lebih sesat(hina) daripada itu dan mereka itu tergolong orang yang lalai.’’( Al-A’raf:179)

Semakin banyak ilmu yang kita belajar dan peroleh sebenarnya semakin tawaduklah hati kita.Semakin sedarlah kita akan banyaknya lautan ilmu yang kita belum tempuh. Jika dengan banyaknya ilmu semakin rasa hebat diri kita, ubahlah kembali niat yang kian terpesong itu.

0 ulasan:

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP